https://www.mylivechat.com/addons/images/blogger-live-chat-3.gif




https://www.mylivechat.com/addons/images/blogger-live-chat-3.gif

Isnin, 24 November 2014

BERSOLEK

Tip-tip bersolek semasa hamil dan selepas bersalin

Wanita sedang bersolek
Kehamilan boleh menyerlahkan seri wajah anda, tetapi ia juga boleh memberi kesan yang berlainan terhadap kulit anda.

Tidak kira samada kulit anda menjadi berbintik-bintik, mudah mendapat jerawat, kering ataupun berminyak, anda tidak perlu membiarkannya sahaja. Ambillah masa untuk mengenakan alat solek setiap pagi. Anda mungkin rasa letih, kembang atau lewat ke tempat kerja, namun cara bersolek yang bijak hanya mengambil masa beberapa minit sahaja tetapi dapat menyerlahkan kejelitaan anda sepanjang hari.

Segarkan mata anda
Untuk mengurangkan bengkak dan lingkaran gelap pada mata akibat kekurangan tidur, sapukan sedikit krim mata di bawah mata anda sebelum menggunakan pelembap biasa anda. Kemudian, sapu sedikit concealer pada bahagian tersebut. Ini dapat menghilangkan rupa mengantuk dan membuatkan mata anda kelihatan bersinar.

Jika anda tidak dapat menyembunyikan kesemua bahagian gelap di bawah mata, jangan bimbang. Anda boleh ikuti dengan menggunakan blemish balm (krim BB) atau pelembap berona gelap untuk kesan tambahan.

Seri kehamilan di dalam tiub
Ketika hamil bukanlah masa yang sesuai untuk mengenakan bedak asas yang tebal. Ini kerana hormon-hormon kehamilan mungkin akan membuatkan kulit anda menjadi sensitif. Atau, anda mungkin mudah mendapat jerawat, jadi biarkanlah kulit anda bernafas sedikit.

Jika kulit anda mengalami banyak pigmentasi dan terdapat tompok-tompok gelap pada muka anda, pelembap berona gelap dapat mengatasinya. Pelembap jenis ini dapat menyekatakan tona kulit anda tanpa perlu memakai bedak asas.

Krim BB dan krim pembetulan warna (colour-correcting creams) atau krim CC adalah krim pelbagai guna yang boleh membuatkan kulit anda kelihatan sihat dan mencerahkan kulit anda serta-merta. Ia menyekatakan rona kulit dan tidak terasa tebal. Kebanyakan krim jenis ini juga mengandungi faktor perlindungan matahari (SPF) sekurang-kurangnya 15.

Ratakan krim ini pada muka dan leher anda selepas dibersihkan, dengan memberi lebih perhatian kepada kawasan yang bertompok-tompok. Buat sementara ini, anda mungkin mahu menggunakan warna yang berbeza sedikit daripada sebelum anda hamil, bergantung kepada sejauh mana kulit anda sudah berubah.

Wajah sihat serta-merta
Pemerah pipi ialah rakan anda, kini dan selepas kelahiran cahaya mata anda. Tiada produk lain sebaik pemerah pipi yang dapat menyerlahkan wajah, mencerahkan mata dan membuatkan orang lain berfikir bahawa anda mendapat tidur yang cukup.

Pilihlah pemerah pipi jenis krim atau cheek stain yang boleh juga digunakan sebagai pemerah bibir jika anda kesuntukan masa. Wajah anda akan kelihatan segar dengan sekelip mata dan kulit anda lebih bersinar. Sapukannya terus pada kulit, ataupun selepas mengenakan krim BB atau pelembap berona.

Pemerah pipi jenis serbuk dan stain biasanya sesuai untuk kulit normal dan bercampur, sementara jenis krim atau formulasi mousse dapat tahan lebih lama jika anda mempunyai kulit kering.

Colek sedikit pemerah pipi menggunakan jari anda, kemudian senyum dan sapukan dengan lembut pada tulang pipi anda. Ratakannya sehingga anda mendapat tahap warna yang anda suka. Selepas bersalin pula, anda mungkin mahu menggunakan warna yang lebih cerah daripada biasa.

Perang dan bertambah cantik
Alihkan perhatian daripada mata yang letih kepada warna perang yang mencerahkan wajah. Sapuan lembut pemerang yang menyerlahkan boleh menyerikan kulit walau sepucat mana pun.

Dengan menggunakan berus yang besar dan lembut, sapukan pemerang kulit pada tulang pipi, dahi dan dagu anda, serta sedikit pada hidung.

Sebelum menyapukannya, buangkan pemerang yang berlebihan pada berus kerana tujuan anda mengenakannya untuk menonjolkan solekan anda, bukannya menutup semua yang telah anda lakukan dengan baik.

Helah yang membuka mata
Walau bagaimana letih atau kembung anda rasa ketika ini, kehamilan membuatkan mata anda bersinar secara semula hadi. Anda hanya perlu menonjolkannya dengan mengenakan sedikit alat solek yang bijak dan mudah digunakan.

Segaris pensel mata yang dikenakan di atas garisan bulu mata dapat membantu membentuk mata anda. Pilihlah pensel yang tebal supaya anda tidak perlu terlalu berhati-hati, dan cubalah satu yang berkilau untuk kesan yang lebih.

Pewarna bulu mata dapat membentuk mata anda tanpa perlu mengenakan maskara. Namun, cubalah dahulu kerana kulit anda mungkin lebih sensitif daripada biasa ketika hamil. Atau, cubalah guna pelentik bulu mata untuk membuka mata yang letih dan menyerlahkan seri wajah anda serta-merta.

Pilihlah maskara hitam yang menyelaput bulu mata untuk membuatkan bulu mata anda kelihatan lebih panjang dan lentik, lantas menyerlahkan mata anda. Goyangkan kayu maskara dari tepi ke tepi ketika mengenakannya untuk memisah dan menyelaput setiap bulu mata.

Penyerlah bibir
Tiada yang lebih menyerikan wajah anda selain gincu bibir yang terang. Gincu bibir dengan formula tahan lama akan kekal hampir sepanjang hari tanpa perlu dikenakan semula.

Warna gincu yang sesuai boleh menyerikan wajah anda serta-merta. Pilihlah warna yang menonjolkan bentuk wajah dan menyerlahkan tona kulit semula jadi anda. Warna yang sesuai biasanya ialah yang satu atau dua tona lebih gelap daripada warna semula jadi bibir anda, tetapi jangan takut untuk mencuba warna merah untuk kelihatan sedikit glamor pada waktu siang.

Jika anda lebih suka penampilan yang lebih natural, pelembap bibir yang sedikit berwarna akan membuatkan anda kelihatan segar. Ia juga mudah dipakai tanpa menggunakan cermin.

Rawatan muka segera
Untuk mendapatkan kulit yang segar dengan segera, cubalah semburan muka tidak berbau. Ini akan membantu mengurangkan sembap, melegakan kulit yang sensitif dan menyegarkan solekan anda.

Tutup mata dan semburkannya kira-kira 25cm (10 inci) jauh daripada muka anda.

Bawalah satu botol kecil semburan ini dalam beg anda supaya anda boleh mengembalikan kesegaran wajah anda apabila perlu. Bawalah juga ketika bercuti dan simpan di dalam peti sejuk untuk menyegarkan muka anda dalam cuaca panas.

KREDIT BABY CENTER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to SIHAT BERSAMA TINIE
Designed by UMIESUEstudio 2015